Ahad, 10 Mac 2013

TIADA MAAF BAGIMU UMNO...!!!


UMNO , jika mahu Tian Chua mohon maaf ...itu hal UMNO, tapi bagi kami orang melayu yang sayangkan Agama , bangsa dan tanahair..... tiada maaf bagimu Tian Chua. noktah...!!! 



KUALA LUMPUR 6 Mac - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua diberi tempoh seminggu untuk menarik balik tuduhannya yang mengaitkan UMNO dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Ulul Amri yang mengeluarkan amaran itu memberitahu, sekiranya Tian Chua tidak berbuat demikian dalam tempoh tersebut, satu perhimpunan aman akan dilakukan di hadapan ibu pejabat PKR bagi menyelar tindakan biadabnya itu.
Pengerusinya, Naseron Ismail berkata, kenyataan Tian Chua dalam laman Twitternya itu amat tidak bertanggungjawab ketika waris anggota dan pegawai polis yang terkorban dalam tragedi berdarah di Sabah masih bersedih.
Sahabat Ulul Amri adalah antara 28 pertubuhan dan individu yang membuat laporan polis membantah kenyataan biadab Tian Chua itu dan laporan tersebut dibuat pertubuhan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pukul 11 pagi ini.
Sehingga malam ini, sebanyak 464 laporan polis telah dibuat di seluruh negara dan tindakan itu membuktikan rakyat marah dengan kenyataan pemimpin itu.
Di IBU NEGARA, Biro Pengaduan Awam MCA dan beberapa NGO membuat laporan polis berhubung kenyataan biadab Tian Chua itu di IPD Petaling Jaya pukul 10.30 pagi ini.
Di KEDAH, lima NGO membuat laporan polis terhadap pemimpin itu di IPD Kota Setar. NGO tersebut adalah Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) Kota Setar, Gerakan Belia 4B Negeri, Gagasan Generasi Gemilang (Gagah) Kuala Kedah, Persatuan Bekas Tentera Kuala Kedah dan Badan Generasi Prihatin 3R 1Malaysia.
Ketua CRSM Alor Setar, Tan Yok Hwa berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya kenyataan biadab Tian Chua dan pemimpin pakatan pembangkang yang lain kerana menyinggung perasaan anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjuang mempertahankan negara.
"Pihak berkuasa perlu menyiasat Tian Chua dan mengambil tindakan kepada orang yang mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap pasukan keselamatan negara," katanya.
Di PULAU PINANG, kira-kira 50 ahli daripada 14 NGO dan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis mendesak kerajaan menjalankan siasatan terhadap Tian Chua.
Semua 14 NGO itu membuat laporan di IPD Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 10 pagi manakala laporan polis Pemuda BN dibuat di IPD Timur Laut.
Di MELAKA, sebanyak 50 ahli Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda BN Tangga Batu berkumpul secara aman di hadapan Balai Polis Batang Tiga, Klebang bagi membantah tindakan biadab pemimpin itu.
Mereka turut membuat laporan polis membantah penggunaan kalimah Allah, bantahan pencerobohan Kiram dan bantahan pengepungan Kedutaan Malaysia di Manila serta pembakaran gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pemuda BN Tangga Batu, Mohamad Nizam Daud berkata, telah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan terhadap individu yang cuba mewujudkan suasana tidak aman di negara ini.
"Kami mahu Tian Chua dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada oleh kerajaan atas sikap biadapnya itu," katanya.
Di PAHANG, sebanyak 100 ahli dan pemimpin daripada tiga Pergerakan Wanita UMNO bahagian berhimpun di hadapan IPD Kuantan sambil menyelar kenyataan Tian Chua itu.
Ketiga-tiga pemimpin itu mengadakan perhimpunan aman selama setengah jam dengan membawa poster yang mengecam pemimpin parti pembangkang itu diambil tindakan tegas sebelum membuat laporan polis.
Di JOHOR, Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyelar kenyataan Tian Chua yang mempolitikkan isu keselamatan negara dan menyifatkan ia sebagai tindakan biadap yang melampaui batas.
Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, kebiadaban Tian Chua itu tidak boleh dimaafkan tetapi perlu diheret ke muka pengadilan kerana ia boleh dikategorikan sebagai menghasut dan mencetus kebencian di kalangan rakyat.
Seramai 4,046 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Muar pula mendesak Tian Chua tidak terus berdiam diri atau cuba melarikan diri ke luar negara sebaliknya bertanggungjawab dengan kenyataannya itu.
Di SABAH, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Kinabalu dan Putatan membuat laporan polis meminta polis melakukan siasatan terhadap Tian Chua kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan menimbulkan kemarahan rakyat negara ini khusus di Sabah.
Di KELANTAN, enam NGO dan pertubuhan bekas tentera membuat laporan polis di Machang manakala 50 ahli Pergerakan Puteri UMNO Kubang Kerian berhimpun di hadapan Balai Polis Binjai membantah tindakan pemimpin PKR itu.
Ketua Puteri UMNO Bahagian, Azlinda Alias berkata, laporan dibuat bagi meminta pihak berwajib melakukan siasatan terhadap Tian Chua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan